
Sungai Long Specialist Hospital sponsors challenge trophies for Hulu Langat District Schools Sports Council
andar Sungai Long, Kajang – Selasa, 17 Januari 2023
Sebagai tanda sokongan dalam memupuk bakat sukan muda di kalangan pelajar sekolah, Hospital Pakar Sungai Long (Sungai Long Specialists Hospital) menaja 14 piala pusingan bagi kejohanan sukan antara sekolah di bawah Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat. Piala pusingan yang ditaja ialah untuk kategori lelaki dan perempuan bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 untuk sukan bola sepak, bola jaring, badminton dan olahraga.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Sungai Long, En Aw Tai Jak kepada Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat Tuan Haji Arbain bin Pinni, dengan disaksikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Pelajar) Encik Syed Norzalman bin Syed Yusof , Penolong Pegawai Daerah (Unit Pembangunan Bakat) Encik Azhar bin Shafiei.
Ahli Parlimen Bangi, Yang Berhormat Syahredzan Johan dan Ahli Majlis Tempatan Kajang, Encik Raymond Kwan turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut.
Encik Aw Tai Jak berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat kerana menerima tawaran Hospital Pakar Sungai Long untuk menaja piala pusingan kejohanan sebagai satu cara menggalakkan pelajar menyertai bidang sukan dan memupuk gaya hidup aktif dan sihat dari usia muda. Bagi mereka yang cemerlang dalam sukan yang diceburi, ia juga merupakan salah satu cara untuk mengenal pasti dan memupuk bakat sukan untuk pasukan negeri dan kebangsaan kita.
“Sukan sememangnya sinonim dengan kesihatan yang baik dan ia melangkaui dimensi padang bola sepak, gelanggang badminton atau bola jaring dan trek olahraga. Menyertai aktiviti sukan memberi banyak manfaat jangka masa panjang dari segi kesihatan fizikal dan mental seseorang. Aktif dalam sukan bukan sahaja dapat menjamin tubuh badan yang sihat, malah ia juga memupuk disiplin serta mengajar kemahiran sosial. Seiring dengan tumbesaran tubuh badan para pelajar, minda mereka juga turut berkembang.”
Yang Berhormat Syahredzan Johan yang gembira menyaksikan acara tersebut berkata “Pembangunan bakat di kalangan kanak-kanak dan belia harus menjadi tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama antara keluarga, sekolah dan masyarakat. Bak kata pepatah tersohor yang berbunyi "It takes a village to raise a child".
“Semua orang boleh memainkan peranan mereka; bukan sahaja ibu bapa tetapi juga warga korporat dalam komuniti, untuk memupuk perkembangan fizikal dan mental anak-anak kita. Piala bukan sekadar tanda kemenangan tetapi pengalaman bertanding dapat memberi impak yang kekal kepada semua yang menyertai kejohanan. Sukan bukan sahaja mengembangkan keupayaan minda, ia juga menggalakkan kerja berpasukan dan mengurangkan risiko belia terlibat dalam aktiviti tidak sihat.” Yang Berhormat Syahredzan mengucapkan terima kasih atas tajaan Hospital Pakar Sungai Long dan berharap ini sokongan seperti ini dapat diteruskan oleh pihak lain untuk meningkatkan kerjasama awam-swasta dalam bidang sukan.
Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Arbain bin Pinni menyatakan beliau amat menghargai keprihatinan Hospital Pakar Sungai Long menaja piala pusingan kejohanan. “Anak-anak kita adalah masa depan kita. Di daerah Hulu Langat, kami mempunyai kira-kira 130,000 pelajar dan sememangnya ramai yang mempunyai bakat sukan. Sokongan dermawan korporat seperti Hospital Pakar Sungai Long pastinya akan merangsang persaingan sihat dan memupuk pembangunan sukan di kalangan para pelajar kita, baik lelaki mahupun perempuan.”